Nov 14, 2012

TAHUN BARU MUNCUL LAGI

Assalamualaikum..Salam Maal Hijrah buat semua ummat Islam seantero dunia.Tahun baru Hijrah muncul lagi, rasanya baru saja kita menyambutnya tahun lepas dan sekarang ianya datang lagi . Sedar tak sedar umur kita juga semakin bertambah. Dalam hati saya berdebar-debar rasanya kerana banyak juga perkara yang terlepas pandang dan belum dilaksanakan dengan sempurna samada dari segi rumahtangga mahupun kerjaya. Itulah  keupayaan manusia yang sangat terbatas. Sedarilah hakikat bahawa kita adalah manusia yang lemah. Bukan niat saya untuk membuat alasan manusia ini bersifat lemah untuk mengelak dari tanggungjawab. Ramai juga diantara kita yang dapat melaksanakan tanggungjawab  dengan baik . Tahniah diucapkan manakala bagi mereka yang belum dapat melaksanakannya sama-samalah kita menanam azam kuatkan tekad dan iltizam untuk menjadi lebih baik antara yang terbaik.
Perjalanan tahun yang sudah saya rasakan agak sibuk sehinggakan saya  tidak berkesempatan mengemaskini blog ini buat ke sekian kali.Ampun dan maaf saya pohonkan.
Dalam musim cuti sekolah begini perancangannya mahu menyiapkan manuskrip terbaru yang mana buku baru akan dilancarkan pada musim pesta buku antarabangsa akan datang. Doa-doakanlah ianya berjalan lancar.
Sebelum saya tinggalkan salam maal hijrah ini, teringat saya pada seorang kawan guru yang berbangsa cina. Beliau pernah memberitahu saya bahawa dia amat tertarik melihat orang Islam yang taat dalam beragama dan mengakui bahawa senakal-nakal murid melayu Islam tidaklah senakal murid yang sebangsa dengannya kerana murid melayu terikat dengan agama yang sentiasa menunjuk jalan yang benar dan baik. Doa-doakan lah agar kawan kita ini mendapat hidayah daripada Allah..Kerana Dialah pemilik segala Jadi...

Saya tinggalkan dengan pesanan Imam AlGhazali:

sekian, selamat berazam baru!!

-ustazah ela-
http://sphotos-g.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/304402_10151178244824255_394207157_n.jpg

Jul 24, 2012

KEM BESTARI SOLAT PERDANA 2012

KEM BESTARI SOLAT PERDANA
SK SEROM 3
20 JULAI 2012 ( JUMAAT )

TEMPAT;
DEWAN SERI SEROM 3

TENTATIF PROGRAM:
SLOT 1 : TAHAP 2
7.45pagi : PENGUKUHAN SOLAT MELALUI RAMADHAN
( Ustzh Norlela bt Ibrahim )
8.45 pagi :  Soal jawab Wuduk dan latih tubi bacaan dalam solat
( Ustzh Suziana bt Mat Hasan )
9.15 pagi : Amali Solat  Subuh ( Ust Mohd  Hairil b. Yaakub )
9.45 pagi : REHAT

SLOT 2: TAHAP 1
10.15 pagi : PENGUKUHAN SOLAT MELALUI RAMADHAN
( Ustzh Seri Banun bt Abidin )
10.50pagi : Soal jawab Wuduk dan latih tubi bacaan dalam solat
( Ustzh Rafizah bt Samin )
11.30 pagi : Amali Solat fardu Maghrib( Ust Mohd Adib B. Ibrahim )
12.05: Bersurai    
                                   
ANJURAN:
PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DAN j-QAF
SK SEROM 3, LEDANG, JOHOR
Penasihat: En Shamsuddin b. Sarip
Pengerusi Panitia Pendidikan Islam:
Pn Seri Banun bt Abidin
Penyelaras KEM BESTARI SOLAT:
Pn Norlela bt Ibrahim
AJK/ FASILITATOR:
En Mohd Hairil b. Yaakub
En Mohd Adib b. Ibrahim
Pn Rafizah bt Samin
Pn Sanisah bt Mohd Nor
Pn Suziana bt Mat Hassan
Cik Nor Aziera bt Ibrahim
Pn Suriani  bt Ibrahim
Ustzh Norlela sedang menyampaikan ceramah; Pengukuhan solat melalui Ramadhan
Ust Mohd Hairil memberi pengukuhan melalui bacaan dalam solat
Murid-murid sedang membuat amali solat fardhu Subuh.

PELANCARAN BULAN SEMARAK ISLAM 2012

Pelancaran Bulan Semarak Islam

Tarikh: 16 Julai 2012
Hari   : Isnin
Tempat; Dewan Seri Serom 3
Aktiviti:
          1. Berzanji dan Selawat
           2. Doa Berirama
           3. Ceramah ; Adakah Ramadhan ini milik kita?
                                ( Ust Abd Razak b. Mohd Darum )
4. Jamuan : Pot Luck...


Ustazah Norlela:
Mentor Guru Pelatih Program Intership IPG Perempuan Melaka

Projek: Pelancaran Bulan Semarak Islam
Guru Pelatih IPG:
          Cik Nor aziera bt ibrahim
Pn Suriani bt Ibrahim


Jul 9, 2012

Perkhemahan yang mematangkan

Salam perkhemahan,

Perkhemahan sekolah telah di adakan pada 6 dan 7 Julai yang baru berlalu. Pelbagai pengalaman dan peristiwa yang telah dilalui oleh setiap peserta yang pastinya membawaseribu satu erti dalam hidup mereka. Al-maklumlah peserta-peserta ini terdiri daripada unit badan beruniform tahun 4, 5 dan 6. Mereka ini kebanyakkannya belum pernah berpisah dari ibu bapa mereka.

Pelbagai gelagat telah ustazah saksikan . Ada yang lucu dan ada yang agak membimbangkan. Peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan ialah pada waktu malam apabila kem komandan memberi tahu bahawa night walk dibatalkan mereka sepakat hendak memasak mee segera yang mereka bawa dari rumah. Pada awalnya pihak guru sepakat tidak mengizinkannya kerana memandangkan tapak perkhemahan yang agak gelap dan agak merbahaya kerana mereka mahu memasak dengan menggunakan kayu api. Tetapi setelah melihat kesungguhan mereka mengeluarkan mee segera masing-masing dan periuk belanga, kami pihak guru-guru ni pun bersetujulah atas dasar ihsan dan ingin mereka mendapat pengalaman yang tidak mereka peroleh di rumah.. Tapi dengan syarat mereka mesti menjaga keselamatan dan masa yang diperuntukkan hanyalah satu jam.


Apalagi mereka pun berusaha menyalakan kayu  api dengan cara  masing-masing. Ada yang mencari batu untuk dijadikan tungku, ada yang memasak air dengan menggantungkan kendi dengan tiang buluh dan ada yang memasak dengan hanya meletakan  periuk  diatas kayu api yang menyala. Dalam hati  pula berkata, kreatif juga budak-budak ni...Keriuhan memang amat membingitkan telinga. Apabila mee segera telah siap di masak, mereka pun makanlah dengan lahapnya, siap ada yang mempelawa untuk merasa masakan mereka....


Apa yang dapat disimpulkan , dalam aktiviti ini mereka nampaknya dapat bertolak ansur antara satu sama lain, tidak mementingkan diri sendiri dan boleh menjadi pemimpin kepada yang lain serta sanggup berkongsi dengan apa yang mereka ada. Moga-moga mereka akan sentiasa membawa sikap ini walau di mana mereka berada. Ia sudah cukup membanggakan..Inilah yang dikatakan "PERKHEMAHAN MEMATANGKAN"

Tepat jam 1.00 pagi...mereka disuruh berhenti dan mengemas kembali alat dan tempat memasak dengan baik...dan...mesti tidur kerana subuh besok sedang menanti....Banyak lagi program menanti pada besok hari...gajet, sukaneka dan pertandingan memasak..

Dengan nada perlahan ku hembuskan ucapan Alhamdulillah tanda syukur pada Allah...


-Ustazah Ela-

Jun 23, 2012

Nasihat Luqmanul Hakim Kepada Anaknya

Nasihat Luqmanul Hakim Kepada Anaknya

( Dipetik dari My Ibrah )


APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.
Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Nasihat-nasihat yang di berikan oleh Luqmanul Hakim boleh di aplikasikan oleh ibu bapa sekarang kepada anak-anak. Jika di perhatikan, nasihat-nasihat yang di berikan Luqmanul Hakim sungguh cantik dan berlandaskan islam.

Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:
1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama’ dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit.
Sama-samalah kita mendidik anak-anak yang di anugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita supaya menjadi insan dan hamba-Nya yang taat dan patuh kepada segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)

Jun 16, 2012

Dunia di akhir zaman


 
DUNIA DI AKHIR ZAMAN

Daripada Abu Hurairah r.a katanya:
 Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Umat ku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu". Sahabat bertanya, Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah:

1. Terlalu banyak seronok
2. terlalu mewah
3. menghimpun harta sebanyak mungkin
4. tipu menipu dalam merebut harta benda dunia
5. saling memarahi
6. hasut menghasut sehingga  jadi zalim menzalimi


( RIWAYAT HAKIM )

Doa apabila berasa takut

DOA APABILA BERASA TAKUT



“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat ALLAH
yang sempurna daripada segala kejahatan yang
diciptakan.”

MOHON KEBERKATAN
TEMPAT TINGGAL
 
“Wahai TUHANku, tempatkanlah aku di tempat
yang berkat dan ENGKAU adalah sebaik-baik
Pemberi tempat.” - Surah al-Mukminun: 29



DOA AGAR MENDAPAT KEDUDUKAN
YANG BAIK

“Wahai TUHANku, masukkanlah aku ke tempat
yang benar, serta keluarkanlah aku daripadanya
dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan
berikanlah kepadaku dari sisi-MU kekuasaan yang
menolongku.” - Surah al-Isra’: 80 


BAHAGIA ITU MILIK KITA!

Berhati-hati mencari pasangan,
dalam melayari bahtera kehidupan,
pasangan untuk berkasih sayang,
pasti bahagia sepanjang zaman.
 
Cinta untuk dinikmati bukan ditangisi,
hadirlah bahagia jika saling bertoleransi,
doa jangan dilupai agar hidup diredhai,
amalkan syariat-nya moga keberkatan melimpahi.

Doa dan tip elok dijadikan panduan,
agar hidup sentiasa berpedoman,
kecapi kebahagiaan dalam keamanan,
utamakanlah syariat dan perintah TUHAN.
 
Cinta dan bahagia pasti menjadi teman,
disertai doa, harapan dan kasih sayang,
di dunia hidup tenang dalam landasan TUHAN,
di akhirat mendapat ganjaran yang dijanjikan.

DOA SUPAYA BERAKHLAK MULIA

DOA SUPAYA BERAKHLAK MULIA
“Ya ALLAH, ENGKAU telah menciptakan kejadianku
sebegini indah, maka perindahkanlah akhlakku.” - HR al-
Baihaqi

Anak-anak Dunia dan Akhirat




Salam mahabbah buat semua,

Timbul satu perasaan takut dan gementar seusai  menonton drama 'Tanah 'Kubur' yang ditayangkan di astro oasis..Semestinya ia menjadi satu program yang tak pernah ketinggalan buat kami sekeluarga dan menjadi kegemaran kerana banyak pengajaran yang dapat kami ambil iktibar bersama-sama. Sepanjang menonton anak-anak sentiasa bertanya tentang apa yang mereka tidak fahami....terutama pembalasan ketika jenazah dikebumikan kekuburan...bertalu-talu soalan dari si abang dan si adik. Sebagai ibu dan ayah yang mahu anak-anaknya mendapat jawapan yang tepat dan mudah difahami oleh anak-anak seusia mereka ( 5-9 thn ), banyaklah perumpamaan dan contoh mudah  yang terpaksa digunakan untuk memberi kefahaman kepada mereka asalkan jangan terpesong dari aqidah Islam.

Dalam hati kecil berkata"susah juga kita nak lahirkan anak-anak yang berjaya di dunia tanpa meninggalkan akhirat kerana di akhiratlah tempat kita kekal abadi".

 Teringat  pada seorang murid  yang datang mengadu mengatakan duitnya hilang sambil berjurai-jurai air mata.."ustazah....duit saya hilang"...dengan lembutnya ustazah bersimpati dan bertanya   "berapa ringgit duit yang hilang?".."pagi tadi ibu bagi dua ringgit, tadi ada lepas tu saya tengok dah hilang...."bersungguh-sungguh dia bercerita..."tadi  alya duduk kat mana?"ustazah memulakan siasatan....dia pun menunjukan kearah tempat duduknya dan terdapat 3 orang murid lain  yang berdekatan dengannya...ustazah pergi ke tempat duduknya dan terus menuju kepada murid yang berada di sebelah tempat duduk alya.."awak bawa duit berapa ringgit hari ni?" tanya ustazah kepada murid itu."Dua ringgit" jawabnya. "Cuba tunjukkan!"Ustazah mengarah...dia pun mengeluarakan satu beg kecil dari koceknya..ternyata ada dua ringgit..ustazah cuba memasukkan tangan kedalam koceknya sekali lagi dan mendapati dua ringgit lagi yang ada.."tadi kata bawa dua ringgit saja, ni dua ringgit lagi sapa punya ada dalam kocek awak?"tanya ustazah..mukanya nampak pucat dan terdiam. Agaknya sedang berfikir apa aku nak kelentong dengan ustazah ni...tiba-tiba dia menjawab"entahlah"..mungkin murid seusia 8 tahun belum pandai untuk menipu, lumrahnya begitu.
"Agaknya duit alya  ni dengan sendirinya melompat masuk kedalam kocek awak ye?"soal ustazah tegas. Ustazah menghulurkan duit itu kepada Alya..Alya tersenyum sambil menyapu air matanya..
Murid-murid lain tertanya-tanya.."kenapa ustazah?"...Ustazah cuma menyuruh murid lain menyiapkan kerja masing-masing tanpa memberitahu apa yang terjadi kerana mahu menutup keaiban kawanya ini..

Pada waktu rehat, ustazah menahan murid tadi dan bertanya,"kenapa awak ambil duit alya tadi". Dia terdiam sambil matanya bulat memandang mata ustazah..ustazah membulatkan mata dan bercakap dalam keadaan yang tegas.."kita kan dah belajar tentang malaikat, malaikat tulis apa yang kamu buat hari ini, Allah juga nampak..kamu tak takut ke? nanti di akhirat Allah tanya  kenapa kamu mencuri? apa kamu nak jawab? kamu mahu ibu bapa kamu diazab oleh Allah kerana perbuatan kamu?Soal ustazah keras..air matanya bergenang..."ustazah bukan marah kamu, ustazah marah dekat syaitan yang ada kat diri  kamu yang menghasut kamu..dekat dunia ni ustazah boleh tolong nasihatkan kamu..bila dekat akhirat nanti, kamu meraung macamana pun ustazah dah tak boleh nak tolong lagi...sebenarnya ustazah sayaang sangat dengan kamu, sebab tu ustazah terpaksa bertegas supaya kamu tak terbawa-bawa perangai ini sampai kamu besar" pujuk ustazah...air matanya dan air mata ustazah sudah berkelopak..."boleh janji dengan ustazah jangan ambil barang atau duit orang lagi?"tanya ustazah, dia mengangguk tanda setuju dan ustazah memeluk erat murid itu sambil berdoa dalam hati agar murid ini dapat berubah kerana ini bukan kali pertama dia melakukan hal ini...moga-moga murid ini akan terdiri dari golongan anak-anak dunia iaitu yang berjaya  di dunia dan anak-anak akhirat iaitu yang tidak pernah meninggalkan urusan akhiratnya...

Sesungguhnya perjuangan memartabatkan ummah tidak pernah selesai sehingga roh dan jasad  dipanggil untuk kembali ketempat asalnya....Teruskan memberi apa yang termampu walaupun ia hanya sekadar sepotong nasihat. Niat yang ikhlas pasti terbalas...

JAGA DIRI HIASI PERIBADI, HIDUP PASTI DIBERKATI...

-Ustazah Ela-

May 18, 2012

SELAMAT HARI GURU


GURU-DIKAULAH SEGALANYA

Tanggal 16 Mei pada setiap tahun adalah hari buat semua pendidik meraikan hari mereka. Selamat hari guru  diucapkan kepada semua rakan-rakan guru seluruh Malaysia. Hati akan tersentuh setiap kali menyanyikan lagu GURU MALAYSIA bersama-sama rakan guru yang lain. Mungkin terlalu menghayati senikatanya atau mungkin juga tindak tanduk kita sebagai guru belum 100 peratus menepati lirik lagu tersebut dan apabila mengingatkan amanah yang dipikul belum sepenuhnya terlaksana.
     Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada bekas-bekas guru, pensyarah dan terutama sekali kedua ibu bapa yang menjadi guru pertama buat kita.
Teringat saya pesan abah suatu ketika  dulu sebelum bergelar sebagai seorang guru. Kata abah," Terdapat 3 kategori guru:
1. kategori yang pertama ialah guru yang menjadi guru bukan kerana minatnya, tetapi dia menjadi  guru kerana tiada kerja lain yang dia dapat kecuali guru . Jadi dia menerima tugas sebagai guru adalah kerana untuk mencari rezeki, bukan niat untuk mendidik anak bangsa atau membangunkan ummah. Guru seperti ini biasanya banyak mengabaikan tugas-tugasnya sebagai guru...

2. Kategori kedua ialah guru yang menjadi guru kerana tanggungjawab. Dia menjadi guru dengan baik sekali, dia menjalankan tugasnya mengajar, menyiapkan rekod mengajar, mengisi markah murid dan seumpamanya.Kerjanya sempurna tetapi dia tidak pedulikan apakah anak didiknya faham atau tidak matapelajaran yang diajar, tidak prihatin dengan masalah anak didiknya dan apa yang penting dia telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan tugas hariannya iaitu mengajar...

3. Kategori  ketiga ialah guru yang minat menjadi guru dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dengan baik. Guru ini amat prihatin dengan masalah anak didiknya, dia akan gembira dan bangga dengan kejayaan anak didiknya dan dia juga akan bersedih bila anak didiknya kurang berjaya..

Jadi, kepada guru sekalian..fikir-fikirkanlah kita berada dalam kategori yang mana?

Dalam Islam, guru yang terbaik ialah  apabila dia mempunyai 5 ciri ini:
1. MUDARRIS-MENGAJAR
2.MUALLIM-MEMBERI ILMU
3. MURABBI-MENDIDIK
4. MUADDIB-MEMBINA ADAB/ AKHLAK
5.MURSYID -MEMBERI PETUNJUK KEBAIKAN

Akhir kalam..semoga kita sama-sama dapat mendidik anak bangsa untuk agama bangsa dan negara yang gemilang..Insya-Allah...


-Ustazah Ela-