Apr 17, 2014

JADILAH ORANG BESAR YANG DIREDHAI

Bismllahirrahmanrrahim...
Assalamualaikum wm.wbth..

Salam mahabbah...
Sudah lama ustazah menyepi dari merajinkan jari jemari  untuk menaip papan kekunci laptop yang usang ini..
Hari ini walaupun penat, namun keinginan yang amat  sangat  merajinkan diri untuk menaip sesuatu dalam blog ini..Mungkin kerana terlalu banyak peristiwa suka duka yang ustazah lalui sepanjang setahun dari tarikh terakhir ustazah mengemaskini blog ini.

     Kata orang cerdik pandai, hidup ini bagaikan roda, kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang juga kita akan berada di bawah..itulah lumrah dunia. Jika kita berada di atas, jangan sesekali lupakan di bawah, kerana kita juga berasal dari bawah dan akan turun kebawah bila tiba masanya nanti..
Ini bermakna walaupun hidup kita berharta, berpangkat dan berkedudukan di dalam sesebuah organisasi, janganlah sesekali kita sombong dan lupa diri. Kita juga seperti yang lain suatu ketika dahulu..alangkah indahnya jika kita sentiasa bertolak ansur dan beramah mesra  dengan sesiapa pun walau kedudukan kita agak tinggi daripada yang lain. Kata pepatah, Orang 'besar' yang sebenar ialah apabila orang 'kecil' bersama kita mereka turut merasa diri mereka juga' besar' tetapi orang 'besar' yang membuatkan orang 'kecil' menjadi semakin kecil  bukannya orang besar yang sejati.
     Terkadang, jiwa kecil ini terusik bila bertemu dengan orang 'besar'  lebih-lebih lagi bila orang' besar' membesarkan diri. Sebagai manusia biasa, perasaan rendah diri akan hadir bila bertemu dengan orang yang sebegini. Merasa apa yang dilakukan semuanya tidak kena, namun perasaan itu serta merta hilang apabila hati memberitahu bahawa apa yang dilakukan bukan kerana orang' besar' tetapi kerana yang Maha Besar. Kelegaan bernafas semula. Keikhlasan penentu segala kerana kita hanya mahu merebut pahala yang Maha Besar.
     Kesyukuran tidak terhingga dipanjatkan atas segala nikmat yang Allah kurniakan .Ampunilah segala kekhilafan dan kesombongan jika kami terdiri dari golongan orang 'besar' yang 'membesarkan' diri. Jadikanlah kami orang-orang yang mewarisi akhlak kekasihmu Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa berakhlak mulia dan tawadhuk walau dengan sesiapa pun...

Ya ALLAH, Rezekikan kami  dengan keikhlasan dan kesabaran, agar bertambah keimanan pada Mu.

Terima kasih ya Allah atas peringatan dan panduan yang telah engkau titipkan kepada kami...

Hidup biar berbudi, walau sampai bertemu mati,

-Ustazah Norlela bt Ibrahim-

Mar 24, 2013

Seronoknya terdidik untuk mendidik



Assalamualaikum wmt wbth...pembaca yang budiman,
Sudah lama rasanya saya tidak mengemaskini blog ini...kalau diibaratkan, ia seperti sebuah rumah yang ditinggalkan dan mungkin telah bersawang dan berhabuk...Banyak yang perlu diperbaharui dan diperkemaskan lagi...Maklumlah apabila bermulanya persekolahan..banyak aktiviti dan kegiatan yang perlu pendidik kecil seperti saya ini laksanakan...Itu semua adalah amanah yang harus dilalui dan dijalankan dengan penuh tabah.

Di awal sesi persekolahan setiap tahun, semestinya amat sibuk dengan program atau aktiviti kokurikulum. Para pelajar seolah-olah tidak menang tangan untuk menyertai acara-acara yang dipertandingkan. Namun harus diingat wahai pelajar sayang....segala aktviti yang kita ceburi biarlah seimbang dengan pelajaran jangan sampai yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.

Apabila banyak melihat telatah dan gelagat pelajar sendiri ia sebenarnya banyak menggamit kenangan waktu zaman kanak-kanak saya dulu...Banyak nasihat dan ingatan buat anak-anak cilik yang baru mengenali hidup belajar dan berkawan. Segala masalah yang mereka hadapi, selalunya mereka mencari saya untuk mengadu..maklumlah saya ni dah macam biro aduan buat mereka. Antara hendak dengan tak nak, jika masalah mereka bergaduh antara kawan-kawan terpaksa dileraikan juga takut-takut ianya akan berpanjangan. Yang paling bestnya...anak-anak cilik ini amat mudah untuk disatukan apabila bergaduh...kita hanya perlu mendengar keluhan mereka dan   akhirinya dengan menyuruh mereka bersalaman tidak kira siapa pun yang bersalah...Mereka akan segera bersalaman dan berbaik semula tanpa mengungkit-ngungkit balik dan berdendam sesama mereka. Begitu tulus dan bersihya hati sicilik ini. Kalaulah orang dewasa juga seperti mereka ..pasti aman dan tiada sengketa... 

Saya amat bersyukur kerana terdidik untuk mendidik kerana yang pastinya saham pahala ini akan berterusan dan tercatat sebagai amal jariah apabila bertemu dengan Yang Maha Mencipta.

Didiklah anak-anak supaya menghormati yang lebih tua dan didiklah yang lebih tua supaya mengasihi yang lebih muda...Barulah hidup menjadi harmoni dan penuh dengan kemanisan kerana kita amat memerlukan antara satu sama lain....

Sabda Nabi s.a.w: "Orang yang penyayang akan disayangi Allah, Sayangilah makhluk Allah di bumi maka kamu akan disayangi makhluk di langit." ( HR Tirmizi )

Kepada para pendidik ( pesanan buat diri sendiri juga )... Sayangilah anak didikmu dan ajarilah mereka dengan penuh keikhlasan kerana keikhlasan itulah yang dapat membentuk keperibadian mereka... jangan hanya mengajar kerana dibayar gaji semata-mata. Niatkan ia adalah kerana Allah . Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali... Renungkanlah...


Jaga diri hiasi peribadi..hidup pasti diberkati....

-Ustazah ela -

Nov 14, 2012

TAHUN BARU MUNCUL LAGI

Assalamualaikum..Salam Maal Hijrah buat semua ummat Islam seantero dunia.Tahun baru Hijrah muncul lagi, rasanya baru saja kita menyambutnya tahun lepas dan sekarang ianya datang lagi . Sedar tak sedar umur kita juga semakin bertambah. Dalam hati saya berdebar-debar rasanya kerana banyak juga perkara yang terlepas pandang dan belum dilaksanakan dengan sempurna samada dari segi rumahtangga mahupun kerjaya. Itulah  keupayaan manusia yang sangat terbatas. Sedarilah hakikat bahawa kita adalah manusia yang lemah. Bukan niat saya untuk membuat alasan manusia ini bersifat lemah untuk mengelak dari tanggungjawab. Ramai juga diantara kita yang dapat melaksanakan tanggungjawab  dengan baik . Tahniah diucapkan manakala bagi mereka yang belum dapat melaksanakannya sama-samalah kita menanam azam kuatkan tekad dan iltizam untuk menjadi lebih baik antara yang terbaik.
Perjalanan tahun yang sudah saya rasakan agak sibuk sehinggakan saya  tidak berkesempatan mengemaskini blog ini buat ke sekian kali.Ampun dan maaf saya pohonkan.
Dalam musim cuti sekolah begini perancangannya mahu menyiapkan manuskrip terbaru yang mana buku baru akan dilancarkan pada musim pesta buku antarabangsa akan datang. Doa-doakanlah ianya berjalan lancar.
Sebelum saya tinggalkan salam maal hijrah ini, teringat saya pada seorang kawan guru yang berbangsa cina. Beliau pernah memberitahu saya bahawa dia amat tertarik melihat orang Islam yang taat dalam beragama dan mengakui bahawa senakal-nakal murid melayu Islam tidaklah senakal murid yang sebangsa dengannya kerana murid melayu terikat dengan agama yang sentiasa menunjuk jalan yang benar dan baik. Doa-doakan lah agar kawan kita ini mendapat hidayah daripada Allah..Kerana Dialah pemilik segala Jadi...

Saya tinggalkan dengan pesanan Imam AlGhazali:

sekian, selamat berazam baru!!

-ustazah ela-
http://sphotos-g.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/304402_10151178244824255_394207157_n.jpg

Jul 24, 2012

KEM BESTARI SOLAT PERDANA 2012

KEM BESTARI SOLAT PERDANA
SK SEROM 3
20 JULAI 2012 ( JUMAAT )

TEMPAT;
DEWAN SERI SEROM 3

TENTATIF PROGRAM:
SLOT 1 : TAHAP 2
7.45pagi : PENGUKUHAN SOLAT MELALUI RAMADHAN
( Ustzh Norlela bt Ibrahim )
8.45 pagi :  Soal jawab Wuduk dan latih tubi bacaan dalam solat
( Ustzh Suziana bt Mat Hasan )
9.15 pagi : Amali Solat  Subuh ( Ust Mohd  Hairil b. Yaakub )
9.45 pagi : REHAT

SLOT 2: TAHAP 1
10.15 pagi : PENGUKUHAN SOLAT MELALUI RAMADHAN
( Ustzh Seri Banun bt Abidin )
10.50pagi : Soal jawab Wuduk dan latih tubi bacaan dalam solat
( Ustzh Rafizah bt Samin )
11.30 pagi : Amali Solat fardu Maghrib( Ust Mohd Adib B. Ibrahim )
12.05: Bersurai    
                                   
ANJURAN:
PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DAN j-QAF
SK SEROM 3, LEDANG, JOHOR
Penasihat: En Shamsuddin b. Sarip
Pengerusi Panitia Pendidikan Islam:
Pn Seri Banun bt Abidin
Penyelaras KEM BESTARI SOLAT:
Pn Norlela bt Ibrahim
AJK/ FASILITATOR:
En Mohd Hairil b. Yaakub
En Mohd Adib b. Ibrahim
Pn Rafizah bt Samin
Pn Sanisah bt Mohd Nor
Pn Suziana bt Mat Hassan
Cik Nor Aziera bt Ibrahim
Pn Suriani  bt Ibrahim
Ustzh Norlela sedang menyampaikan ceramah; Pengukuhan solat melalui Ramadhan
Ust Mohd Hairil memberi pengukuhan melalui bacaan dalam solat
Murid-murid sedang membuat amali solat fardhu Subuh.

PELANCARAN BULAN SEMARAK ISLAM 2012

Pelancaran Bulan Semarak Islam

Tarikh: 16 Julai 2012
Hari   : Isnin
Tempat; Dewan Seri Serom 3
Aktiviti:
          1. Berzanji dan Selawat
           2. Doa Berirama
           3. Ceramah ; Adakah Ramadhan ini milik kita?
                                ( Ust Abd Razak b. Mohd Darum )
4. Jamuan : Pot Luck...


Ustazah Norlela:
Mentor Guru Pelatih Program Intership IPG Perempuan Melaka

Projek: Pelancaran Bulan Semarak Islam
Guru Pelatih IPG:
          Cik Nor aziera bt ibrahim
Pn Suriani bt Ibrahim


Jul 9, 2012

Perkhemahan yang mematangkan

Salam perkhemahan,

Perkhemahan sekolah telah di adakan pada 6 dan 7 Julai yang baru berlalu. Pelbagai pengalaman dan peristiwa yang telah dilalui oleh setiap peserta yang pastinya membawaseribu satu erti dalam hidup mereka. Al-maklumlah peserta-peserta ini terdiri daripada unit badan beruniform tahun 4, 5 dan 6. Mereka ini kebanyakkannya belum pernah berpisah dari ibu bapa mereka.

Pelbagai gelagat telah ustazah saksikan . Ada yang lucu dan ada yang agak membimbangkan. Peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan ialah pada waktu malam apabila kem komandan memberi tahu bahawa night walk dibatalkan mereka sepakat hendak memasak mee segera yang mereka bawa dari rumah. Pada awalnya pihak guru sepakat tidak mengizinkannya kerana memandangkan tapak perkhemahan yang agak gelap dan agak merbahaya kerana mereka mahu memasak dengan menggunakan kayu api. Tetapi setelah melihat kesungguhan mereka mengeluarkan mee segera masing-masing dan periuk belanga, kami pihak guru-guru ni pun bersetujulah atas dasar ihsan dan ingin mereka mendapat pengalaman yang tidak mereka peroleh di rumah.. Tapi dengan syarat mereka mesti menjaga keselamatan dan masa yang diperuntukkan hanyalah satu jam.


Apalagi mereka pun berusaha menyalakan kayu  api dengan cara  masing-masing. Ada yang mencari batu untuk dijadikan tungku, ada yang memasak air dengan menggantungkan kendi dengan tiang buluh dan ada yang memasak dengan hanya meletakan  periuk  diatas kayu api yang menyala. Dalam hati  pula berkata, kreatif juga budak-budak ni...Keriuhan memang amat membingitkan telinga. Apabila mee segera telah siap di masak, mereka pun makanlah dengan lahapnya, siap ada yang mempelawa untuk merasa masakan mereka....


Apa yang dapat disimpulkan , dalam aktiviti ini mereka nampaknya dapat bertolak ansur antara satu sama lain, tidak mementingkan diri sendiri dan boleh menjadi pemimpin kepada yang lain serta sanggup berkongsi dengan apa yang mereka ada. Moga-moga mereka akan sentiasa membawa sikap ini walau di mana mereka berada. Ia sudah cukup membanggakan..Inilah yang dikatakan "PERKHEMAHAN MEMATANGKAN"

Tepat jam 1.00 pagi...mereka disuruh berhenti dan mengemas kembali alat dan tempat memasak dengan baik...dan...mesti tidur kerana subuh besok sedang menanti....Banyak lagi program menanti pada besok hari...gajet, sukaneka dan pertandingan memasak..

Dengan nada perlahan ku hembuskan ucapan Alhamdulillah tanda syukur pada Allah...


-Ustazah Ela-

Jun 23, 2012

Nasihat Luqmanul Hakim Kepada Anaknya

Nasihat Luqmanul Hakim Kepada Anaknya

( Dipetik dari My Ibrah )


APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.
Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Nasihat-nasihat yang di berikan oleh Luqmanul Hakim boleh di aplikasikan oleh ibu bapa sekarang kepada anak-anak. Jika di perhatikan, nasihat-nasihat yang di berikan Luqmanul Hakim sungguh cantik dan berlandaskan islam.

Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:
1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama’ dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit.
Sama-samalah kita mendidik anak-anak yang di anugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita supaya menjadi insan dan hamba-Nya yang taat dan patuh kepada segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)