Kenali Penulis


Salam Ukuwwah fillah..


NORLELA BINTI IBRAHIM merupakan anak kelima dari sepuluh orang adik beradik. Dilahirkan di Selangor Darul Ehsan dan dibesarkan di Kelantan Darul Naim. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Danan Pasir Puteh Kelantan dan kemudian di Sekolah Menengah Agama (Arab) Azhariah Melor, Kota Bharu, Kelantan.Pada tahun 1996, beliau mengorak langkah melanjutkan pelajaran ke Kolej Agama Sultan Zainal Abidin, KualaTerengganu dalam bidang Diploma Pengajian Islam Usuluddin. Minat yang mendalam mendorong beliau menyambung lagi pengajian ke peringkat Sarjana Muda di kampus yang sama bermula tahun 1999 sehingga 2001. Beliau telah bertemu jodoh dengan suami yang tercinta pada 25 Mei 2002  yang bernama Mohd Hairil  b. Hj. Yaakub dan sehingga kini telah dikurniakan 2 orang cahaya mata lelaki yang bernama Mohd Khairul Amien  (9 tahun) dan Mohd Khairul Afif (5 tahun). Walaupun telah berjaya menggenggam segulung diploma dan ijazah serta sudah berkeluarga ketika itu,  peluang untuk menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pada tahun 2005 sehingga 2006 tidak dilepaskan dengan begitu sahaja. Kursus itu bertempat di Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor. Kini, pemegang Diploma Pendidikan ini merupakan salah seorang guru Pendidikan Islam (Program j-QAF) yang berkhidmat di salah sebuah sekolah daerah Ledang, Johor. Berkat kesungguhan dan ketekunan di dalam perkhidmatan perguruan, beliau telah dinobatkan sebagai penerima ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG bagi tahun 2009. Kesibukan dalam kerjaya tidak menghalang beliau untuk bergiat dalam bidang penulisan. Kejayaan buku sulungnya,  DOA & TIP KHAS UNTUK PELAJAR telah mendorong dan memberi semangat   untuk beliau  menghasilkan lebih banyak lagi bahan bacaan ilmiah dan dapat dikongsi manfaatnya bersama-sama. Kini, disusuli pula dengan kemunculan buku kedua yang menjadi BEST SELLER iaitu DOA & TIP KELUARGA BAHAGIA terbitan KARYA BESTARI semoga ianya mampu mengajak kita bermuhasabah diri dan memperbaiki segala kekurangan.  Bidang penulisan tanah air amat memberi kesan yang positif terutama dalam mendidik bangsa untuk membaca , menambah ilmu pengetahuan, memajukan bangsa dan negara serta memberi ruang  kepada penulis untuk mengembangkan ilmu serta menyebarkan dakwah melalui tinta untuk kebaikan ummah sejagat…