Apr 7, 2012

Tarbiyatul Aulad


TARBIYAH AULAD
Sesi persekolahan 2012 sudah berjalan selama 3 bulan pertama…Walaupun tempoh itu terlalu sekejap untuk dinilai tetapi banyak perkara dan aktiviti yang telah berlangsung sepanjang tempoh itu. Tempoh 3 bulan pertama biasanya banyak aktiviti sukan berlangsung di seluruh sekolah bagi membina ketahanan fizikal dan mental para pelajar diikuti dengan perlawanan antara sekolah-sekolah sama ada peringkat zon , daerah dan negeri. Begitu juga aktiviti Ko-akademik yang lebih kepada menonjolkan bakat dan ketajaman fikiran pelajar antaranya seperti bercerita, kuiz, saintis muda, hafazan, tilawah Al-Quran dan nasyid. Aktiviti ini semua adalah untuk membina keyakinan diri dan mengasah bakat yang ada dalam diri pelajar di samping menyerlahkan daya kepimpinan dalam diri mereka.
Dalam tempoh ini juga banyak perahan tenaga dan keringat sama ada secara langsung atau tidak langsung yang telah diberikan oleh guru-guru mereka selaku jurulatih pelajar tersebut. Apa tidaknya jika sesuatu perlawanan atau pertandingan itu antara sekolah atau antara daerah tentulah semua yang memasuki pertandingan itu mengidamkan kemenangan dan kejayaan untuk mengharumkan nama sekolah masing-masing. Masing-masing mengatur strategi untuk bergelar juara. Tidak kira pagi atau petang komitmen terhadap tugasan ini amat banyak sehinggakan ada guru yang secara sukarelanya sanggup pulang ke rumah tatkala matahari mula terbenam.
PANDANGAN ISLAM
Jika dilihat dari aspek Islami, semua ini adalah satu bentuk tarbiyah aulad untuk mendidik mereka supaya lebih berdisiplin, mematuhi waktu, menerima arahan , beraksi dengan penuh tanggungjawab, bertolak ansur sesama rakan serta membina semangat juang mereka untuk meraih kemenangan yang mana aspek-aspek inilah yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak untuk mendidik diri dan hati mereka menjadi insan atau khalifah yang akan menjadi generasi pelapis pada masa akan datang.
KALAH ATAU MENANG ADAT PERTANDINGAN
Kalah atau menang sesuatu perlawanan atau pertandingan itu adalah lumrah. Yang menang akan gembira manakala yang kalah atau dengan bahasa halusnya yang ‘kurang berjaya’ akan merasa kecewa. Kalah oleh sebab pesaing-pesaing kita memang hebat dan mantap, itu menandakan kita juga hebat, cuma mungkin rezeki kemenangan bukan untuk kita. Tetapi jika kalah sebab tersalah langkah atau kecuaian kita sendiri mungkin agak kecewa dan malu juga pada pesaing-pesaing yang lain. Bila sudah tersilap langkah, maka hilanglah fokus sepanjang pertandingan. Ada yang menyalahkan sesama sendiri dan ada yang menangis kerana dimarahi oleh teman-teman. Pujuklah hati pelajar atau anak-anak kita untuk lebih terbuka dan menganggap ia sebagai satu cabaran dan pengalaman untuk masa-masa akan datang. Mungkin juga dengan kekalahan ini akan membina semangat yang lebih tinggi kepada pelajar atau anak-anak supaya lebih fokus dalam menerima arahan serta mematuhinya dalam mengharungi kehidupan sehariannya. Begitu juga dengan jurulatih yang telah berhempas pulas melatih para pelajarnya bagi memenangi sesuatu acara itu dan sedikit sebanyak mungkin hilang semangat untuk melakukan perkara-perkara yang lain selepas mengetahui pelajar-pelajarnya cuai dan tidak mematuhi arahan yang telah diajarnya selama ini. Dalam keadaan ini, jurulatih atau guru mestilah cuba untuk memujuk hati dan anggaplah ia sebagai satu pengalaman yang lucu dan kelakar supaya anda tidak menghadapi tekanan yang membuatkan anda penat dan bertambah kecewa. Berlapang dada akan menyelamatkan anda dari tekanan dan anggaplah ia sebagai satu proses pembelajaran untuk menguatkan lagi pasukan anda pada masa-masa akan datang.
Sebenarnya ini semua adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang amat berguna buat kita warga pendidik dan para pelajar selain dapat memupuk rasa mahabbah, kasih sayang dan mesra antara guru dan murid , ia juga melatih para guru untuk mentarbiyah pelajar-pelajarnya secara tidak langsung untuk menjadi khalifah yang unggul pada masa akan datang, Insya–Allah…
Oleh :
Ustazah Norlela binti Ibrahim,
Penulis Doa & Tip Khas untuk pelajar / Doa dan Tip Keluarga Bahagia
GRUP BUKU KARANGKRAF.